Wednesday, March 21, 2007

Pesanan Oleh Ustaz Nasrudin at-Tantawi



sila lawat http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com/

FTA:BAIK DAN BURUKNYA

FTA: BAIK DAN BURUKNYA

Perjanjian Perdagangan Bebas bermaksud Free Trade Agreement , ringkasnya FTA. Perjanjian ini lebih merupakan perjanjian dua hala antara negara-negara yang terlibat.
Era globalisasi ini, perjanjian sebegini harus dirintis . Perjanjian seumpama ini bertimbal balik seperti WTO, NAFTA , AFTA dan lain-lain. Tujuan murninya bagi merendahkan harga keperluan yang dikehendaki oleh pengguna. Hanya barang termurah dari seluruh dunia boleh beredar di pasaran tanpa sekatan cukai bertindih dan tentulah pengguna yang untung.

Halangan selama ini

* cukai import dan cukai eksport yang melibatkan cukai bertindih.
* Halangan birokrasi - terlalu banyak perjanjian lapuk
* Para pegawai kastam dan imigresen tidak dapat membuat keputusan cepat berasaskan pasaran semasa yang bergerak dari minit ke minit.

Kelebihan perdagangan masa kini

* Apa juga barangan boleh diimport dari seluruh dunia.
* Apa juga barangan oleh dieksport ke seluruh dunia.
* Permintaan dan penawaran barangan berasaskan internet yang terlalu pantas.
* Teknologi kejuruteraan dan bioteknologi membolehkan pengeluaran yang agresif.
* Lambakan barangan pertanian dapat diminimakan
* Pengguna akhir amat beruntung.

Sejarah FTA

Pada 1 Januari 1994, 3 negara di benua Amerika Utara iaitu Kanada, Amerika Syarikat (AS) dan Mexico telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA ). Perjanjian ini telah diperluaskan ke beberapa negara termasuk China, India dan kini giliran Malaysia.
Inti perjanjian NAFTA ialah penghapusan cukai terhadap barang-barang AS ke Mexico dan juga penghapusan tarif secara berperingkat oleh Mexico selama 14 tahun.
Tapi kini (2007 ) majoriti rakyat Mexico berasa kesal kerana ia akhirnya memihak kepada negara maju iaitu Amerika Syarikat dan Kanada.

Kes Methanex

Bab 11 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ini memberikan kuasa kepada ‘individu ataupun syarikat korporat untuk menyaman kerajaan Mexico, AS atau Kanada bagi menuntut pampasan ganti rugi.’
Oleh itu syarikat Methanex, sebuah syarikat penghasil bahan-bahan kimia dari Kanada menyaman kerajaan AS dengan tuntutan sebanyak AS$970 juta (RM3.39 bilion).
Syarikat Methanex mendakwa bahawa pengharaman negeri California ke atas bahan MTBE, bahan kimia yang ditemui di dalam perigi-perigi bekalan air negeri California, telah merosakkan eksport negara Kanada untuk bahan metanol.
Saman syarikat Methanex akhirnya ditolak di mana Methanex terpaksa membayar kos sebanyak AS$3 juta (RM10.5 juta) kepada kerajaan AS iaitu pampasan litigasi yang berlaku pada tarikh 9 Ogos 2005.
Bab 11 perjanjian NAFTA ini dengan jelasnya memihak lebih kepada syarikat- syarikat korporat besar di AS dan Kanada berbanding dengan syarikat-syarikat di Mexico yang terlalu kecil dan tidak mampu secara kewangan untuk mengambil tindakan perundangan terhadap negara-negara seperjanjian ini.
Kes Mequiladora

Kerajaan Mexico mempunyai insentif yang dipanggil projek ‘mequila’ bagi menarik para pelabur asing bagi tujuan perkilangan eksport.

Di bawah program ini, sebuah syarikat yang digelar ‘mequiladora’ yang diiktiraf oleh bahagian Setiausaha Pembangunan Perindustrian dan Komersal Mexico (SECOFI), pelabur asing boleh memiliki sebanyak 100 peratus pegangan dalam syarikat ini ataupun dalam pelaburan dana secara terus. Syarikat-syarikat ‘mequiladora’ ini bebas tarif serta cukai oleh kastam bagi kemasukan barang-barang dengan mengenakan bon ke atas barang-barangan tersebut bagi memastikan kemasukan barang-barangan yang dibawa hanyalah untuk tujuan eksport semula.

Warga asing serta pelabur asing syarikat-syarikat program ‘mequila’ ini juga dibenarkan membeli serta memilik tanah di kawasan-kawasan yang telah ditetapkan oleh pihak SECOFI.

Insentif projek ‘mequila’ kerajaan Mexico ini hampir sama dengan :

* Taraf perintis yang diberi kepada pekilang asing di bawah Akta Penggalakan Pelaburan Malaysia 1986
* Keistimewaan kepada syarikat atau pelaburan asing di Koridor Multimedia Raya (MSC) di Malaysia.

Selepas perjanjian NAFTA ditandatangani barulah kerajaan Mexico sedar bahawa:

* Mexico kekurangan pakar dan pekerja mahir lulusan universiti bagi memenuhi kehendak dan permintaan para pelabur syarikat Amerika dan Kanada.
* Pelaburan asing hanya menguntungkan kelas menengah atasan dan kaya di Mexico serta berpendidikan bahasa Inggeris .
* Jurang kemiskinan , bilangan pendidikan rendah dan terpencil di pedalaman semakin bertambah.

Subsidi Mewah kepada Petani Amerika Syarikat

Pada Mei 2002, Kongres AS pimpinan Presiden George W. Bush meluluskan Akta Pemeliharaan dan Pelaburan Kawasan Pedalaman AS 2002. Di bawah Akta selama 10 tahun ini, Jabatan Pertanian AS memperuntukkan subsidi mewah sebanyak AS$200 bilion (RM700 bilion) kepada para petani serta peladang tempatan AS bagi penghasilan tanaman komoditi.

Nilai pasaran komoditi dunia jatuh merudum kerana tidak mampu bersaing dengan petani dan peladang dari Amerika Syarikat. Petani dan peladang dari AS menggunakan teknologi tinggi, besar-besaran dan sistem pemasaran yang canggih. Petani dan peladang di negara sedang membangun tidak dapat bersaing. Contohnya benih ayam terpaksa diimport dari Amerika Syarikat.

Subsidi mewah ini turut dibantah oleh Kesatuan Para Saintis Prihatin (Union of Concerned Scientist), Persatuan Penanam Jagung Negeri Iowa ( Iowa Corn Growers Association ) dan juga Oxfam Amerika.

Oxfam Amerika merupakan sebuah NGO di bawah Oxfam International yang mempunyai kerjasama dengan 100 buah negara dan mempunyai pejabat di 13 buah negara.

Subsidi terhadap makanan ternakan tempatan AS menyebabkan pengeluaran ternakan secara berlebihan.Rata-rata petani dan peladang AS tidak memiliki sendiri. Subsidi yang diterima dipajaknilaikan pada harga tanah yang mereka usahakan. Dalam jangka masa panjang petani dan peladang AS juga yang rugi.
Subsidi Beras Amerika Syarikat

Pada 11 April 2005 Amerika Syarikat merupakan pengeksport beras ke-3 terbesar di dunia. Hasil eksport padi AS menyamai ekport padi Vietnam.

AS melonggokkan 3.8 juta tan beras padi subsidinya ke pasaran dunia. Kos purata padi AS ialah AS$415 dolar ( RM1,452.50 ) bagi satu tan beras . Tapi dijual dengan harga AS$274 (RM959) satu tan ke negara Haiti, Ghana dan Honduras.

Pesawah AS boleh jual murah kerana mendapat subsidi dari Amerika Syarikat . Tapi kesan buruknya ialah negara miskin di dunia terpaksa menurunkan kadar tarif padi beras tempatan.

Tekanan harga juga dilakukan oleh Bank Dunia, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan perjanjian dua hala bersama AS.

Pada 1995, IMF mendesak Haiti menurunkan tarif import daripada 35 % kepada hanya 3 peratus. Akibatnya 95 % padi diimport dari AS dan pesawah padi Haiti tidak ke sawah lagi dan kehilangan kerja.




Subsidi Balak oleh Kanada

Akhbar Boston Globe melaporkan AS sendiri menentang WTO.Contohnya Duta Perdagangan AS, Robert Zoellick akan terus menggunakan strategi lobi dan 'ugutan perdagangan'.

12 Ogos 2005 Duta Perdagangan AS, Rob Portman serta Setiausaha Komersial AS, Carlos Guiterrez di Washington mengecam kerajaan Kanada yang memberi subsidi AS$1.28 bilion (RM4.48 bilion) syarikat balak dan industri perkayuan Kanada.

Subsidi Kapas Amerika Syarikat

Pada Mac 2005, WTO memutuskan bahawa subsidi tanaman kapas AS menyalahi undang-undang persetujuan antarabangsa dan sekiranya AS tidak menghentikan subsidi kapasnya, Brazil berhak mengenakan sekatan perdagangan terhadap AS.

Subsidi tanaman jagung

Pada 24 Januari 2007, Australia, Kanada, Kesatuan Eropah (EU), Argentina dan Brazil membantah subsidi jagung oleh kerajaan AS. AS adalah pengeksport jagung terbesar di dunia dan pada 2006 AS telah mengeksport 50 juta tan jagung.

Yayasan Amanah Perdamaian Antarabangsa (Carnegie Endowment of International Peace - CEIP) di Washington melaporkan Mexico telah kehilangan 1.3 juta pekerjaan di sektor petani kecil sejak 1993.

Kebangkitan ekonomi China dan India

Kemasukan China dan India dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia pada September 2001 yang menawarkan kos buruh termurah menjejaskan daya saing Mexico. Pelabur asing dari seluruh dunia berhijrah ke China dan India.

FTA Malaysia dengan AS

Mulai Jun 2006 , wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) Susan Schwab berunding dengan kerajaan Malaysia berhubung Perjanjian Perdagangan Bebas ( FTA). Malaysia merupakan rakan dagang AS yang ke-10 terbesar, dengan AS$44 bilion dalam perdagangan dua hala pada 2005. Para penganalisis dagangan Malaysia meramalkan eksport AS ke Malaysia akan berganda dengan cukai, tarif , subsidi dan sebagainya dapat diselaraskan.

Presiden Bush mahu rundingan terhasil sebelum 1 Julai 2007 iaitu sebelum tempoh presiden tamat. Rundingan pusingan ke-5 dijadualkan di Sabah pada bulan Februari 2007. Timbalan USTR ialah Karan Bhatia . Malaysia diwakili oleh Datuk Seri Rafidah Aziz selaku Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Malangnya 1 Januari 2007 ahli kongres kanan Amerika Syarikat ,Tom Lantos yang mewakili California mendesak rundingan FTA dengan Malaysia digantung.

Tom Lantos berang dengan perjanjian gas antara syarikat swasta Malaysia dengan Iran yang bernilai AS$16 bilion (AS$1=RM3.50) .Sedangkan perjanjian itu bukan kerajaan Malaysia tapi sebuah syarikat swasta Malaysia, SKS Ventures dengan syarikat milik negara National Iranian Oil Co. Kerajaan Malaysia tidak terlibat .

Ironinya ialah California yang diwakili Tom Lantos merupakan pengeksport terbesar dari AS ke Malaysia, menghantar kira-kira AS$2 bilion nilai barangan setahun Malaysia.

Perkara yang diliputi oleh FTA

Produk barangan, perkhidmatan, perubatan, hak pelaburan, pemerolehan kerajaan dan hak harta intelektual.


Kesan negatif!

* Perubatan

Harga ubat akan naik melambung tinggi kerana lebih banyak ubat akan dipatenkan oleh syarikat AS yang akan menentukan harga ubat bagi mengaut keuntungan.

* Pertanian

Pada masa ini petani Malaysia diberikan subsidi untuk menghasilkan tanaman dan menjualnya dengan harga berpatutan. Hasil tanaman dari luar negara dikenakan tarif import untuk melindungi petani daripada kerugian. Selepas FTA, petani akan kerugian apabila tarif tanaman luar negara akan dikurangkan. Malaysia akan dibanjiri oleh hasil tanaman AS yang amat murah berbanding dengan harga tanaman Malaysia. Petani Malaysia akan mengalami kerugian tinggi dan tidak dapat bertani lagi. AS menggunakan teknologi tinggi dan memberi subsidi tinggi kepada pertanian mereka. Oleh itu, harga tanaman tempatan tidak boleh bersaing dengan harga tanaman AS yang sangat murah

* Perkhidmatan

AS mahukan Malaysia meliberalisasikan perkhidmatannya yang bermakna membuka sektor perkhidmatan kepada persaingan asing. AS menyasarkan syarikat telekomunikasi Malaysia, perkhidmatan kewangan, tenaga, penjagaan kesihatan, perkhidmatan pengedaran, perkhidmatan profesional seperti guaman, akauntan, jurutera dan doktor serta perkhidmatan penyiaran.

* Pekerja

Kerajaan AS mahu semua tarif Malaysia ke atas produk perkilangannya dikurangkan kepada sifar. Apabila tarif menjadi sifar, barangan yang dikeluarkan oleh AS akan menjadi lebih murah dan memberi saingan sengit kepada barangan keluaran tempatan. Maka banyak kilang kecil dan sederhana tempatan akan kehilangan pasaran dan akhirnya menghadapi kesukaran beroperasi. Selepas itu, banyaklah pekerja kehilangan pekerjaan.

* Harga Barangan

Di bawah FTA dengan AS, sektor perkhidmatan seperti air, elektrik, telekomunikasi, pengangkutan boleh diambil alih oleh syarikat asing dan beroperasi untuk keuntungan mengakibatkan kenaikan harga dalam perkhidmatan. Contohnya, kilang yang mengeluarkan beras perlukan perkhidmatan elektrik untuk memproses, perkhidmatan pengangkutan dan lebuh raya untuk mengedar barangan. Jika kos perkhidmatan naik, maka harga beras pun akan naik.


Sistem nilai berbeza

Sebarang perjanjian yang termeteri mestilah telus tanpa ada niat terselindung . Sebarang kesan yang melampaui jangkaan mestilah dirundingkan semula dan diketengahkan dari semasa ke semasa.

Para perunding perjanjian mestilah berwibawa, nasionalistik dan tiada sebarang tekanan politik dari luar mahupun dari dalam.

Biasanya sesuatu perjanjian itu pada awalnya manis belaka. Harapan dan niat yang dinyatakan mungkin baik untuk seketika tapi kesan jangka panjang haruslah difikirkan. Lihat kesan perjanjian bekalan air kepada Singapura kepada negeri Johor.

Amerika sendiri tidak senang dengan Islam dan Dasar Ekonomi Baru. Tambahan pula Malaysia mengamalkan sistem demokrasi Raja Berperlembagaan

Perlembagaan Amerika membenarkan rakyatnya memiliki dan membawa senjata. Malahan AS pengeluar dan pengekport senjata api. Dasar negara itu kelihatan berat sebelah. Kuasa besar itu mengamalkan 'dasar pre emptif' yang amat berbahaya.

Sunday, March 4, 2007

Dari www.zaharuddin.net

Harus Mengintip Bagi Mencegah
Khalwat & Zina ? : Pandangan Ketiga
Oleh
Ust. Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Baru-baru ini timbul kehangatan dalam soal intipan dan serbuan yang dilakukan oleh Penguatkuasa Jabatan Agama Islam bagi mematahkan gejala zina, khalwat dan yang berkaitan dengannya.
Hasil tinjauan saya, agak banyak juga kritikan dari pelbagai pihak terhadap kedua-dua pihak yang terlibat. Di ruangan peribadi saya ini, saya tergerak untuk turut serta memberikan pandangan berdasarkan kafahaman dan penilaian kepada pandangan, hujjah dan perdebatan yang diberikan setelah diasak dengan puluhan soalan yang sama dari pelbagai pihak kepada saya melalui SMS, web site peribadi, email dan yahoogroup saya. Bagaimanapaun saya tidak sesekali menganggap tulisan ini akan mampu memuaskan hati kedua-dua belah pihak (samada JAKIM mahupun pihak Sohibul Samahah Mufti Perlis dan yang bersama kedua-dua mereka).
Pada realitinya, isu ini telah pun ditutup setelah perbincangan sihat di antara S.S Mufti Perlis dan JAKIM membuahkan satu keputusan. Tahniah diucapkan. Benar, tulisan ini boleh dikatakan agak terlewat dari masa yang sepatutnya dikeluarkan jika dilihat dari sudut keperluannya. Bagaimanapun, ia sentiasa relevan bagi pencinta ilmu dan pencari kebenaran. Kerana itu saya utarakan tulisan ini agar ia dapat memberi sedikit input baru (jika ada) kepada para pembaca yang mulia.
SYARAT AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR
Hal ini saya tidak perlu mengutarakannya dengan panjang, kerana ramai sudah ‘kelihatan' jelas dengan syarat-syarat pelaksanaan ‘Amar Makruf Nahi Mungkar'. Syarat-syarat ini disebut dengan amat jelas antaranya dari sumber berikut :-
1) Ihya' Ulumiddin oleh Imam Al-Ghazzali (5/34)
2) Min Fiqh Ad-Dawlah Fil Islam oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, ( hlm 121, cet Dar As-Syuruq)
3) At-Tasyri' Al-Jinaie al-Islami oleh Syeikh Abd Qadir Awdah ( 1/501, cet Muassasah Ar-Risalah)
4) Fiqh Ad-Dakwah Wal Irsyad oleh Syeikh Abd Rahman Hasan al-Habannakah. ( 2/ 242, cet Dar Al-Qalam)
Syarat-syarat ini perlu dipenuhi demi membolehkan dilaksanakan perubahan (taghyir) samada dengan tangan, lisan dan hati sebagaimana yang disebut oleh Nabi SAW dalam hadith sohih yang cukup popular ( Riwayat Muslim dalam kitab Iman). Tanpa syarat ini, tiada peruntukan dibenarkan oleh Islam untuk melakukan ketiga-tiga tindakan pencegahan tadi. Kesemua syarat-syarat dikeluarkan dari hadith Nabi SAW dan setelah dirujuk kelihatan kesemua syarat yang dikeluarkan oleh para ulama Islam adalah hampir sama, ringkasannya seperti berikut :-
1) Kejahatan (maksiat) itu mestilah dari jenis yang disepakati sebagai dosa dengan hukum haram secara qat'ie (putus) berdasarkan dalil-dalil yang tepat, specifik dan jelas atau dengan ijma'. Sebarang hukum yang bersifat ijtihadi terbuka untuk perbincangan dengan hujjah yang kemas.
2) Maksiat itu sedang berlaku, jika ia belum berlaku atau dijangkakan akan berlaku, tindakan yang harus hanyalah dinasihati terlebih dahulu. Ini bermakna, sebelum berlaku, tiga tindakan cegahan tadi belum menjadi harus, kerana itulah amalan menasihati samada secara umum atau specifik dibenarkan. ( At-Tasyri' al-JInaie Al-Islami, 1/502)
3) Mempunyai kemampuan sebenar dari sudut ilmu, kuasa, suasana dan yang berkaitan untuk melakukan usaha mencegah ini.
4) Mestilah diyakini pencegahan itu tidak membawa kemudaratan yang lebih besar.
5) Maksiat itu mestilah terzohir (ternampak) dengan jelas tanpa perlu pengintipan samada dengan cara pendengaran, penglihatan dan sebagainya. Allah SWT menyebut :
ولا تجسسوا
Ertinya : Janganlah engkau mengintip-ngintip ( Al-Hujurat : 13
Perlu difahami bahawa setiap rumah dan inidividu dijaga hak, kehormatan dan maruahnya oleh Islam berdasarkan hadith yang banyak. Malah dosa peribadi yang dilakukan di rumah adalah antara individu dengan Allah SWT. Antaranya sebuah hadith sohih menyebut:
كل أمتي معافى إلا المجاهرين
Ertinya : Setiap umatku (boleh) diampunkan kecuali yang berterangan-terangan (melakukan maksiat tanpa malu dan takut)
Rasulullah SAW juga pernah bersabda :
اجْتَنِبُوا هَذِهِ الْقَاذُورَةِ الَّتِي نَهَى الله عَنْهَا فَمَنْ أَلَمَّ فَلْيَسْتَتِرْ بِسَتْرِ الله وَلْيَتُبْ إِلَى الله. فَإِنَّهُ مَنْ يُبْدِ لَنَا صَفْحَتَهُ نُقِمْ عَلَيْهِ كِتَابَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ.
Ertinya : "Jauhilah perkara-perkara keji (maksiat) yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menyembunyikannya dengan tutupan (yang diberikan) Allah dan bertaubat kepada Allah SWT. Jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla." [Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no: 7615 dan beliau berkata: "Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya." Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.]
Juga sebuah kisah yang popular berkenaan tindakan Sayyiidna Umar r.a iaitu :-
عبد الرحمن ابن عوف أنه حرس ليلة مع عمر بن الخطاب, فبينا هم يمشون شب لهم سراج في بيت, فانطلقوا يؤمونه حتى إذا دنوا منه إذا باب مجاف على قوم لهم فيه أصوات مرتفعة ولغط. فقال عمر وأخذ بيد عبد الرحمن: أتدري بيت من هذا؟ قال: قلت: لا. قال: هو ربيعة بن أمية بن خلف وهم الآن شرب فما ترى؟ قال عبد الرحمن: أرى قد أتينا ما نهانا الله عنه نهانا الله فقال: ((ولا تجسسوا)) فقد تجسسنا. فانصرف عنهم عمر وتركهم.
(Daripada) ‘Abd al-Rahman bin Auf radhiallahu 'anh bahawasanya beliau pernah berjaga malam bersama ‘Umar bin al-Khattab. Tatkala mereka sedang mengelilingi kampung, mereka melihat sebuah lampu yang sedang menyala dari rumah, maka mereka menghampiri rumah tersebut. Ketika mereka menghampiri, mereka dapati pintu rumah tersebut terbuka tanpa seorang pun di sana, sedangkan dari dalam rumah terdengar suara yang sangat kuat. Berkata ‘Umar sambil memegang tangan ‘Abd al-Rahman: "Tahukah kamu rumah siapa ini?"
‘Abd al-Rahman menjawab: "Tidak." ‘Umar berkata: "Ini adalah rumah Rubi‘ah bin Umayyah bin Khalaf, saat ini mereka sedang minum arak, bagaimana pendapat mu?"
‘Abdul Rahman berkata: "Aku fikir, kita sekarang ini telah mengejar sesuatu yang dilarang oleh Allah. Bukankah Allah telah berfirman: "...dan janganlah kamu mengintip ..." dan kita telah mengintip mereka. Setelah mendengar perkataan beliau, Umar pergi dan meninggalkan mereka. (Musannaf ‘Abd al-Razzaq diteliti oleh Habib al-Rahman al-‘Azhami; al-Maktabah al-Islami, 10/231, riwayat no: 18943)
ADAKAH PENGECUALIAN DARI LARANGAN PEMERIKSAAN DAN PENGINTIPAN?
Persoalan sekarang adalah; adakah mengintip, menyelidik serta menyerbu premis peribadi dan bilik hotel harus dilakukan?. Jawab ringkasnya; walaupun seseorang tidak dibenarkan mengintip kesalahan dan aurat orang lain, tetapi jika ‘ghalib zhon' (besar kemungkinan) seseorang cuba menyembunyikan sesuatu maksiat atau jenayah yang boleh memudaratkan ramai orang (seperti yang melibatkan orang lain, seperti menculik, cubaan membunuh dan sebagainya) tetapi dalam masa yang sama terzahir juga tanda-tanda kejahatan dengan jelas atau berdasarkan laporan yang boleh dipercayai benarnya, maka hukum larangan menyelidik, mengintai dan menyerbu mungkin berubah dari haram kepada harus malah wajib dalam keadaan tertentu berdasarkan tahap maslahat yang disasarkan (Fiqh Ad-Dakwah Ila Allah, Syeikh Abd Rahman Hassan Al-Habannakah, 2/242 dengan pindaan dan tambahan). Antara bentuk yang boleh mengharuskannya adalah seperti :-
a- Terdengar suara orang menjerit meminta pertolongan dalam sebuah rumah tertutup yang diyakini terdapat mangsa sedang bergelut dengan penjahat di dalamnya.
b- Terkeluar bauan arak yang amat kuat dari sebuah rumah orang Islam serta ramai pula tetamunya (persis sebuah majlis arak dan seks beramai).
c- Terlihat dengan jelas si lelaki membawa wanita yang diyakini bukan isterinya berdua-duan, berpelukan dan berpegangan tangan dengan cara yang diketahui bukan cara sang suami dengan isteri.
d- Berdua-duaan lelaki dan wanita yang diyakini bukan mahram di tepi-tepi tasik atau di dalam bilik kuliah di Universiti pada jam 2 pagi.
e- Melakukan maksiat secara bersembunyi di dalam kereta tetapi di lakukan tempat awam yang gelap.
Maka dalam keadaan di atas, adalah HARUS untuk meninjau dan memeriksa, sebagai mengambil hazar (jalan hati-hati) dari terlewat bertindak sehingga berlakunya maksiat atau jenayah. Malah HARUS juga untuk MENGETUK, memeriksa rumah dan bilik hotel seseorang jika terdapat laporan yang boleh dipercayai tentang ia melakukan jenayah atau maksiat di dalamnya terutamanya apabila terzahir sehingga keluar bunyi jeritan minta tolong, bauan arak yang haram dan sepertinya (Rujuk Al-Ahkam Al-Sultaniyah, hlm 218 ; At-Tasryi' Al-Jina'ie, 1/504 dengan sedikit tambahan dan pindaan ; Asna Al-Matalib, 4/180 ; Ihya Ulumiddin, 5/36)
TATACARA YANG PERLU DIPERBETUL
Apa yang diperlukan kini adalah ketertiban adab dan tatacara si penyelidik atau penyerbu. Bagi kes serbuan bilik hotel sebagai contoh, terdapat kemungkinan penghuni bilik itu adalah suami isteri. Terdapat kemungkinan besar pula mereka tidak membawa sijil nikah bersama. Justeru, pegawai penguatkuasa perlu berhati-hati agar mereka tidak bertindak dengan nafsu seronok hingga boleh mengaibkan orang serta menjaga adab sebagai wakil kepada Jabatan dan penguatkuasa agama. Untuk itu, perlu bertanya terlebih dahulu, memberi ruang kepada wanita di dalam bilik tersebut untuk berpakaian lengkap sebelum mengajukan pelbagai soalan.
Kerana itu, adalah penting bertindak berdasarkan laporan dan tidak sewajarnya di'serang' semua bilik hotel setiap kali serbuan dibuat. Dalam kes serbuan bilik hotel, antara contoh adab dan tertib yang terlintas di fikiran saya, yang perlu dipastikan oleh Jabatan Agama dan penguatkuasa serbuan dan tangkapan adalah seperti berikut :-
1) Memastikan semua pegawai yang dihantar adalah terlatih dan berilmu dalam tugasan yang ingin dilaksanakan. Termasuklah pegawai sukarelawan, ini kerana ia membawa imej sesebuah jabatan agama itu.
2) Mestilah bertindak menyerbu dengan laporan sahaja jika dalam keadaan biasa, kecuali jika statistic dan data menunjukkan sesebuah hotel itu adalah sarang pelacuran dan maksiat.
3) Jangan mengintai dan sengaja menunggu hingga dapat melihat sesuatu yang tidak harus baginya untuk melihat, tetapi perlulah terus memaklumkan dengan lantang akan kehadiran mereka sebagai Jabatan Agama. Samada dengan terus mengetuk pintu. Perlu difahami bahawa ia masih diikat dengan hadith :
Hadis Sahl bin Saad As-Saa'idiy r.a: "Sesungguhnya seorang lelaki telah mengintip pada lubang pintu rumah Rasulullah s.a.w. Ketika itu Rasulullah s.a.w membawa sikat yang baginda guna untuk menggaru kepala. Manakala Rasulullah s.a.w melihat orang itu, baginda bersabda: Seandainya aku tahu engkau memandangku, tentu aku masukkan sikat ini ke dalam matamu. Rasulullah s.a.w juga bersabda: Sesungguhnya meminta izin itu telah disyariatkan hanyalah kerana alasan penglihatan."
4) Jangan terus memasuki bilik hotel yang diserbu, sebaliknya meminta si lelaki membuka pintu terlebih dahulu. Pegawai bertugas tidak perlu bertungkus lumus berlari di setiap sudut bilik hotel bagi mencari suspek wanita atau lelaki.
5) Jangan terus membuka semua pintu bilik air dan menarik selimut sebaliknya mengarahkan si lelaki (atau wanita) berkenaan untuk memanggilnya keluar atau jika dinyatakan bahawa ia adalah isterinya. Pihak Jabatan perlulah bersangka baik dan memberi ruang agar si isteri menutup aurat dengan sempurna dan kemudian barulah mereka kembali memastikan status wanita itu. Ini kerana dibimbangi ia adalah isteri sebenar bagi si lelaki.
SEBAB-SEBAB YANG MENJADIKAN INTIPAN, SELIDIKAN BERUBAH HUKUM KEPADA HARUS
Antara sebab yang menjadikan selidikan, serbuan dan intipan ringan bertukar dari haram kepada hukum bersyarat adalah :-
•1) Apabila Terdapat Bukti dan Laporan Berwibawa
Berkenaan keharusan tinjauan, serbuan dan selidikan, kita boleh melihat dari hadith yang disebut sebelum ini, iaitu :-
مَنْ يُبْدِ لَنَا صَفْحَتَهُ
Ertinya : "Jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami.."
Lafaz ‘menampakkan' dalam hadith ini mempunyai pelbagai bentuk dan cara, antaranya dengan cara (At-Tasyri' Al-Jinaie Al-Islami, 1/504-505 dengan tambahan) :-
Pertama : Pendengaran, seperti terdengar percakapan dua lelaki tentang hasrat mereka untuk melakukan pembunuhan dan penculikan; maka di ketika itu adalah harus mengintipnya dan menelitinya. Demikian juga, percakapan wanita dan lelaki untuk menyewa hotel untuk melakukan maksiat mereka.
Kedua : iaitu dengan bauan dan hiduan tertentu, seperti pembawa dadah di dalam beg. Pihak kastam menggunakan anjing pengesan untuk menghidunya sedangkan ianya adalah tersembunyi dan disembunyikan, hasilnya adalah harus menahan mana-mana orang yang begnya dikesan oleh anjing pengesan sebagai berpotensi mempunyai dadah.
Ketiga: Pengelihatan mata, saya kira ia adalah amat jelas.
Keempat: melalui sentuhan, sebagai contoh sentuhan tidak diundang si lelaki terhadap seorang wanita dijadikan dalil dan bukti terhadap niat jahat si lelaki yang tersembunyi.
Apabila terdapat tanda-tanda seperti ini dalam kes khalwat di hotel dan lainnya, serbuan dan penyelidikan adalah HARUS dilaksanakan, tetapi sebagaimana yang disebut tadi, ianya mestilah dilaksanakan dengan hemah dan adab. Untuk itu, Jabatan Agama perlulah menyediakan ‘guideline' dan kursus bagi penguatkausa ini agar mereka lebih berilmu.
Saya pernah membaca beberapa kali di akhbar, penguatkuasa sukarela penangkapan khalwat yang menyeleweng sehingga ada yang mencabul kehormatan wanita yang ditangkapnya. Inilah akibat apabila operasi ini tidak ditangani dengan terancang.
2) Dilakukan Atas Dasar Siyasah Syari'yyah oleh Pemerintah
Imam As-Syafie r.h berkata : " Tiada Siyasah kecuali yang bertepatan dengan kehendak Shariah" ( Turuq Hukmiyah, Ibn Qayyim, hlm 41, cet Al Maktab al-Islami). Kita perlu memahami bahawa di dalam memahami dalil-dalil al-Quran dan hadith berkenaan larangan intipan. Hak dan harta peribadi seseorang boleh dicerobohi oleh pemerintah Muslim apabila disasarkan tindakan itu kepada satu maslahat yang lebih umum dan luas. Bagaimanapun, sebagaimana di sebut tadi, ia mestilah dilakukan dengan adab menurut garis panduan tertentu.
Dalam hal menyerbu bilik-bilik hotel, saya berpandangan ianya HARUS dilakukan terutamanya apabila mendapat laporan yang diyakini benarnya. Manakala DI KETIKA tiada terdapat laporan, serbuan juga boleh menjadi HARUS untuk dilakukan demi mencapai salah satu di antara Maqasid Shariah, iaitu menjaga keturunan dan menjaga maruah umat Islam. Antara objektif Shariah dalam mengaharamkan perbuatan zina adalah kerana ianya boleh mencarik silsilah keturunan umat manusia, menyebabkan hubungan ketrunan terancam, selain itu zina dan khalwat boleh menyebabkan maruah tercarik, berlakunya tuduhan zina tanpa saksi yang cukup dan sebagianya. Untuk itu, menjadi satu tujuan yang sohih untuk mencari jalan agar selruh kemungkinan yang boleh membawa kepada zina di tutup sekadar kemampuan yang ada. Ia dinamakan ‘Sadd Zari'atu az-Zina' (menutup peluang zina) di bilik hotel yang urufnya sarang maksiat. Ia berbeza dengan serbuan di rumah yang jarang tidak sepatutnya di lakukan kecuali apabila terdapat laporan yang benar-benar dipercayai. Perlu difahami akan bezanya intipan di rumah dan intipan di hotel dan tasik di malam hari.
Umum mengetahui bahawa hotel kerap kali dijadikan tempat maksiat oleh pasangan muda mudi, juga tidak terkecuali golongan tua. Disokong pula dengan statistik kekerapan berlakunya maksiat di hotel, bolehlah dikatakan ia sebagai satu tempat yang amat strategik dan kondusif untuk melakukan maksiat. Ini menyebabkan kumpulan ilmuan Islam perlu menilai hukum serbuan di hotel berbanding rumah persendirian dalam konteks semasa.
Selain itu, ia juga berobjektif untuk menyusah dan menimbulkan rasa takut serta bimbang pelaku maksiat untuk bersenang-senang ke hotel bagi melakukan perzinaan, khalwat, culik dan lain-lain aktiviti maksiat atau jenayah.
Bagaimanapun, kekerapan serbuan tanpa laporan ini perlulah rasional dan dipantau agar tidak keterlaluan. Ini bermakna, serbuan beradab tanpa laporan dibuat atas dasar Siyasah Syar'iyyah.
Kefahaman Terhadap Dalil Larangan Intipan
Saya faham bahawa memang jelas dan terang terdapat pelbagai dalil terutamanya dari hadith Nabi SAW yang mengisyaratkan dengan jelas perihal kejinya perbuatan mencari-cari kesalahan dan mengintip. Bagaimanapun, ia masih lagi terbuka kepada ijtihad berubahnya hukum itu dalam keadaan suasana dan zaman tertentu. Kes Sayyidina Umar al-Khattab yang meninjau di dalam rumah Rubi‘ah bin Umayyah adalah dalam situasi yang mungkin berbeza dengan hotel awam di zaman ini. Malah Kefahaman hadith dengan sohih juga mestilah ditinjau dari jenis hadith. Ini kerana berapa banyak jenis hadith yang ‘direct' menyebut sesuatu hukum tetapi ia berbeza aplikasi hukumnya kerana ada di antaranya :-
a- Dibina di atas uruf dan adat di ketika itu, dan boleh berubah menurut keadaan. Sebagaimana hadith laknat Allah SWT atas tindakan "menyambung rambut untuk kecatntikan serta mengubah ciptaan Allah " ( Riwayat Al-Bukhari, 4/1853 , no 4604). Dalam hal hadith ini terdapat ulama seperti Ibn ‘Asyur yang berijtihad mengatakan : "menurut pandanganku, larangan ini adalah terkesan kepada keadaan (uruf) di zaman Arab silam" (Maqasid As-Shariah al-Islamiyah, hlm 228 ). Dr. Muhammad Abu Laith (penyelia tesis PhD S.S Dr Mohd Asri) pula menyatakan " Terdapat benarnya kata-kata Ibn ‘Asyur dalam hal ini , kerana ulama tidak mengambil hadith tadi dalam bentuk umumnya sehingga berkatalah Ulama Syafie dan Hanbali : HARUS bagi wanita berkahwin untuk menyambung rambut dengan rambut yang bersih bukan kepunyaan manusia apabila mendapat izin suaminya" ( ‘Ulum al-Hadith, Dr Md Laith, hlm 366 ; Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 1/312 naqal dari Laith)
b- Terikat dengan zaman tertentu yang berubah menurut zaman juga. Sebagai contoh hadith yang menyebut tentang timbangan adalah menurut timbangan ahli Mekah dan ‘mikyal' adalah menurut kiraan ahli Madinah. (Riwayat Abu Daud, 3/246 ; Sohih ). Dr Yusof Al-Qaradawi dan Syeikh Mustafa Az-Zarqa dengan terang dan jelas menyebut bahawa hadith ini terikat dengan zaman dan kelebihan kepada timbangan dan kiraan ahli Mekah dan Madinah itu tidak bersifat tetap sehingga hari kiamat tetapi telah berubah kepada kiraan moden yang lebih mudah. (Kayfa Nata'amal Ma'a As-Sunnah, hlm 147 ; Fatawa Az-Zarqa )
c- Dibina atas dasar menutup peluang dosa atau kerburukan dari berlaku; sebagai contoh, hadith larangan Nabi SAW dari menjatuh hukuman bunuh ke atas pelaku sihir yang mensihir Nabi SAW bernama Lubaid Al-‘Asom. Imam Ibn Hajar menyebutkan bahawa Imam Al-Qurtubi berpendapat bahawa pelepasan dari hukuman itu dibuat kerana bimbang jika dijatuhkan hukuman bunuh kepadanya, maka akan menjauhkan orang ramai dari memasuki Islam. ( Fath al-Bari, 1/231 ; rujuk pelbagai contoh lain dalam Ulum AL-Hadith oleh Dr. Md Abu Laith, hlm 373)
d- Dibina atas dasar maslahat tertentu yang berubah menurut zaman ; Sebagai contoh adalah larangan Nabi SAW dari melaksanakan hukuman poting tangan pencuri ketika musim peperangan. ( Riwayat at-Tirmidzi, no 1450 ; Tirmidzi : Hasan Gharib ). Cuba lihat sedangkan dalil jelas dari Al-Quran mengarahkan hukuman ini dilakukan, tetapi di ‘adjust' waktu pelaksanaannya menurut maslahat. Demikian juga kisah Sayyidina Umar al-Khattab yang mengubah cara Nabi yang biasanya membahagikan hasil kemenangan Islam di Khaybar kepada para pejuang. Dimana Umar al-Khattab di zaman pemerintahannya tidak mengagihkan tanah Sham, Iraq dan mesir kepada para pejuang, sebaliknya mengekalkannya di tangan tuan tanah dan hanaya mengenakan cukai tanah (Kharraj) sahaja. ( Rujuk al-Mughni, 4/189)
Banyak lagi bentuk hadith yang jelas hukumnya tetapi terdapat aplikasi dan tindakan pengecualian dalam keadaan tertentu, samalah seperti hal mengintip ini, masih terdapat ruang ijtihad untuk membolehkannya di laksanakan oleh pemerintah Muslim di zaman fasadnya umat, wujudnya peluang selesa maksiat di hotel dan lain-lain.
TINDAKAN SIYASAH SYARIYYAH BOLEH MELAMPAUI HAK PERIBADI
Bukti bahawa beberapa hal yang haram atas individu boleh menjadi harus oleh pemerintah Muslim YANG ADIL dalam keadaan tertentu. Hal ini seperti berikut (Rujuk At-Turuq al-Hukmiyah, Ibn Qayyim al-Jawziyah, hlm 43) :-
a) Tindakan Nabi SAW yang memerintahkan wanita yang mencaci dan melaknat untanya, agar melepaskannya. (Riwayat Muslim ; no 2595). Kita dapat melihat bahawa unta tersebut adalah harta milik si wanita dan Nabi SAW pernah menyebut di dalam sebuah hadith sohih bahawa "diri kamu, darah kamu, harta kamu dan maruah kamu sesame kamu adalah haram (untuk dicerobohi)" oleh orang lain tanpa hak. Maka dalam hal ini, hak harta peribadi si wanita yang sepatutnya haram diganggu oleh orang lain, telah dilupuskan statusnya oleh pemerintah Islam apabila diperintahkan ia melepaskannya. Inilah namanya tindakan Siyasah Syar'iyyah, bagaimanapun, kemudaratan yang timbul kepada awam mestilah diminimakan sedaya upaya. Agar mampu mencapai maksud yang disasarkan.
b) Memerintahkan agar dihukum bunuh bagi peminum arak bagi kali ke 4, hukum ini dinasakhkan selepas itu. (Riwayat Abu Daud ; no 4482 , At-Tirmidzi ; no 1444)
c) Merampas harta individu yang tidak mahu mengeluarkan zakat. (Riwayat Abu Daud ; no 1575 )
d) Nabi SAW pernah mencabut cincin emas seorang sahabat tanpa banyak soal, lalu dilemparkan cincin emas itu sedangkan ia adalah harta peribadi yang dijaga kehormatannya oleh Islam.
e) Mempergandakan nilai denda ke atas pencuri yang tidak cukup nilai curian (untuk dilakasanakan dipotong tangan), selain ditambah pula dengan dilaksanakan hukuman sebat sebagai pengajaran. (Riwayat Abu Daud ; no 4390 dan At-Tirmidzi ; no 1289). Sedangkan menyakiti orang lain adalah haram menurut hukum asalnya, tapi dalam hal ini, tindakan pemerintah yang melakukannya adalah harus bagi mensasarkan ia sebagai pengajaran.
f) Tindakan Nabi SAW yang bersungguh-sungguh mengecam untuk membakar rumah mereka yang tidak bersolat jemaah. (Riwayat Muslim ; no 652)
g) Tindakan Abu Bakar As-Siddiq, Ali k.w, Abdullah Az-Zubair r.a yang membakar peliwat sebagai hukuman. Sedangkan kita mengetahui bahawa adalah dilarang untuk membunuh dengan membakar. (At-Turuq al-Hukmiyah, hlm 46)
h) Tindakan Sayyidina Umar al-Khattab yang membotakkan kepala Nadhar bin Hajjaj serta menghalaunya kelaur dari Madinah hanya semata-mata wajahnya yang terlampau kacak menyebabkan wanita berangan-angan dan berhasrat untuk melakukan maksiat dengannya. Bukankah wajah yang tampan itu bukan ikhtiyar (pilihan) Nadhar, tetapi kita dapat melihat Siyasah Syariyyah menjadikan Umar bertindak demikian demi maslahat umum. Demikian juga menurut pandangan saya berkenaan serbuan sekali sekala oleh Jabatan Agama walaupun tanpa laporan, iaitu demi maslahat yang lebih umum. ( At-Turuq al-Hukmiyah, hlm 46)
i) Umar juga pernah bertindak mengetuk kepala Sabi' bin Asal at-Tamimi kerana bertanya perkara yang tidak berkenaan dengannya. Bukankah terdapat pelbagai dalil melarang kita menyakiti orang lain.? Tetapi Umar memukulnya sebagai tindakan pengajaran kepada yang lain.
Wajah ad-dalalah dalam semua item di atas adalah bagaimana hak peribadi dan milik seseorang HARUS di'CEROBOHI'kan menurut kadar yang sepatutnya oleh pemerintah muslim (dalam hal ini JAKIM atau Jabatan-jabatan Agama lain) apabila ia diyakini boleh membawa kepada kebaikan awam yang lebih besar, tetapi ia tidaklah begitu terbuka dan masih mempunyai syarat-syarat seperti cuba meminimakan mudarat individu itu, dibuat secara beradab dan rasional dan sebagainya.
KESIMPULAN
Demikian, secara sederhana saya utarakan pandangan ketiga dalam hal ini. Ini bermakna, saya bersetuju dengan saranan Sohibul Samahah Mufti Perlis agar diperkemas tindakan serbuan, tetapi saya TIDAK sependapat dengan beliau dalam hal melarang dan mengharamkan intipan secara umum yang boleh menyebabkan terbantutnya seluruh operasi ops maksiat yang telah sedia ada. Saya juga bersetuju dengan JAKIM dan lain-lain Jabatan Agama yang ingin meneruskan usaha ini, pada masa yang sama saya tidak bersetuju jika tindakan Penguatkuasa Jabatan Agama yang menjadikannya sebagai rutin harian dan menyerbu tanpa adab dan tertib.
Akhirnya, banyak suara yang menyebut, keutamaan patut diberikan untuk mencegah maksiat yang dilakukan secara terang-terangan, saya bersetuju dengan kenyataan ini, tetapi saya kurang bersetuju untuk menidakkan usaha siyasah syariyyah ke arah pembanterasan gejala khalwat dan potensi zina di hotel, tepi tasik, bilik kuliah Universiti, di dalam kereta di dalam gelap dan lain-lain tempat strategik maksiat. Sebagaimana tidak perlu kita menidakkan usaha solatnya seorang kaki judi, tidak perlu juga menyuruh orang yang ponteng solat untuk agar meninggalkan puasa mereka atau mengkrtik mereka paabila merkea melakukan solat sunat dhuha. Biarlah, jika itu sahaja yang mampu dilaksanakan ketika ini demi meluaskan ketaatan kepada Allah. Maka lakukanlah, cuma tambahilah ilmu dalam pelaksanaanya. Ibn Qayyim menyebut : "Barangsiapa berijtihad dalam hal mendapatkan taat kepada perintah Allah dan Rasulnya (dalam hal muamalat dan adat) maka ia berada di lingkungan satu ganjaran atau dua" ( At-Turuq al-Hukmiyah, hlm 50)
Sesiapa yang ingin mendiskusikan artikel ini dipersilakan ke forum saya di http://www.freeforum101.com/jordanian atau sertai yahoogroups saya di http://groups.yahoo.com/group/zaharuddin
Bagaimanapun, saya tidak dapat menjamin kemampuan melayan semua komentar kerana masa yang amat terhad.
Wallahu ‘alam.
sekian

Muktamar Ke-16

Assalamualaikum WBT,

Selamat datang kepada semua pejung Islam Seksyen 24 ke Muktamar Cawangan Kali ini. Semoga kita dapat bersama-sama melakukan muhasabah diri dan organisasi demi untuk kebaikan Islam.

Selamat bermuktamar!